Nama : Nurhusna Alya Binti Zulkibli
No. Matrik : D20171077679
Pensyarah : Dr. Nur Farahkhanna Binti Mohd Rusli
Struktur binaan dalam karangan menurut Awang Sariyan (1992) menyatakan bahawa pada dasarnya binaan karangan yang lengkap harus terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu pendahuluan, badan karangan, dan penutup.
Pendahuluan/Pengenalan
Pada bahagian Pendahuluan atau pengenalan perlu memuatkan definisi atau huraian ringkas tentang keseluruhan isi karangan atau tema karangan.
Seterusnya, perkenalkan isu atau persoalan yang menjadi tajuk penulisan
Gaya penulisan yang menarik, akan merangsangkan minat pembaca
Kandungannya mempunyai pertalian erat dengan tajuk supaya pembaca cekap memahami mesej yang ingin disampaikan.
Bahagian Isi
Bahagian isi merupakan wadah untuk memuatkan isi-isi penting yang mendukung atau menunjangi tema atau persoalan pokok dalam karangan.
Perkembangan dan bicara tajuk yang jadi fokus penulisan secara terperinci.
Mengutarakan fakta, pandangan, ulasan, pendapat, contoh dan hujah berhubung dengan tajuk.
Hujah hendaklah mantap, logik, dan berkesan.
Penutup
Penutup pula biasanya berfungsi untuk mengukuhkan atau merumuskan apa-apa yang telah dibincangkan dalam badan karangan.
Penutup merumuskan isi yang telah dipersembahkan.
Rumusan hendaklah mempunyai kaitan yang rapat dengan tajuk penulisan dan mempunyai hubungan dengan jenis penulisan .
Memaparkan kaedah penggunaan bahasa dalam penulisan karangan fakta.
Penulisan karangan merupakan satu aspek penting sebagai perakam bahasa yang melibatkan fikiran, pengetahuan, teknik, gaya dan kebolehan menggunakan tatabahasa yang betul. Penulisan karangan merupakan satu kegiatan yang berbentuk sintaksis dengan mempergunakan pengetahuan dasar kebahasaan ditambah beberapa komponen berupa kemampuan penalaran dan pengetahuan yang baik tentang objek garapnya.
Di samping itu komponen isi kandungan dan fakta, penggunaan bahasa, gaya (keragaman ayat, diksi dan bahasa kiasan), organisasi atau pengolahan dan keseluruhan memberikan kesan kepada umum.
Sukatan pelajaran bahasa Malaysia bagi peringkat sekolah menengah atas menetapkan supaya pelajar-pelajar dapat menguasai kecekapan berbahasa dalam kemahiran menulis seperti berikut:
a) Membuat karangan daripada lakaran dan catatan dengan menggunakan kata, frasa dan ayat yang betul.
b) Membina ayat yang betul, tepat, gramatis dan indah dalam pelbagai kegiatan berbahasa.
c) Membina pelbagai ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan dalam konteks.
d) Membina pelbagai jenis ayat majmuk.
e) Membina ayat-ayat dalam perenggan untuk mengembangkan fakta dan isi bagi menghasilkan karangan.
f) Memilih perbendaharaan kata yang tepat dan berkesan, urutan ayat-ayat yang berkaitan dan teratur mengikut sistem tatabahasanya dan ejaan yang betul.
Antara contoh penanda wacana yang digunakan dalam karangan seperti berikut :
Ada lima langkah penting yang perlu anda ikut apabila menulis karangan.
1. Memilih tajuk yang tepat
-Sesuai dengan pengetahuan, pemahaman, dan keupayaan anda menghuraikannya atau mengembangkannya sehingga menjadi karangan yang cukup isinya.
-Faham akan kehendak tajuk.
-Berupaya menghuraikannya atau mengembangkannya.
-Pilih tajuk yang benar-benar anda kuasai supaya karangan yang anda tulis itu tepat, padat, dan bernas.
-Fahami format dan laras bahasa karangan yang hendak anda tulis.
Mencari Kata Kunci
-Antara kata atau rangkai kata yang mungkin menjadi kunci tajuk termasuklah kata atau rangkai kata seperti bincangkan, gambarkan, cadangkan, tulislah, andaikan, nyatakan pendapat anda, dan sebagainya.
-Selepas memahami kunci tajuk, rancanglah rangka karangan anda supaya sesuai dengan kehendak soalan.
Menyediakan Rangka Karangan
-Rangka karangan penting supaya anda tidak lupa akan fakta-fakta atau isi-isi penting yang hendak anda huraikan.
-Dengan merujuk kepada rangka isi karangan, anda akan dapat menulis karangan secara tersusun dan tidak menyimpang daripada kehendak tajuk atau soalan.
-Rangka karangan hendaklah ringkas dan sebaik-baiknya ditulis dalam bentuk isi-isi penting.
-Rangka karangan anda mestilah terdiri daripada
a) Pendahuluan
b) Isi-isi penting
c) Penutup
Menulis Karangan
-Pada umumnya ada dua aspek utama yang dinilai pada karangan anda, iaitu aspek isi dan aspek bahasa.
-Aspek isi dinilai dengan berdasarkan perkara-perkara berikut:
a) pertalian antara isi-isi dengan tajuk. Isi yang dipilih mestilah berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
b) kematangan fikiran anda menghuraikan dan memberi contoh yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
c) Isi-isi perlu disusun secara tertib.
-Aspek-aspek bahasa pula dinilai dengan berdasarkan perkara-perkara berikut:
a) penggunaan tatabahasa
b) ejaan
c) penggunaan tanda baca
d) pembahagian perenggan
e) pemilihan kata yang tepat.
Tajuk : Kepentingan Menjaga Alam Sekitar
Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Manusia banyak bergantung kepada sumber-sumber semulajadi di muka bumi ini. Allah telah mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran munusia. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-gunung sebagai pemasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa dan menyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, ia juga sedikit sebanyak akan terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembangunan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik.
Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih merupakan nikmat yang sangat bernilai kepada kehidupan manusia. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya. Udara dalam alam sekitar kita yang bersih dan segar juga membolehkan kita menikmati keselesaan. Kita akan berasa selasa jika tiada gangguan di persekitaran kita. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan kita menjalani kehidupan dalam keadaan cuaca yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas marah dan tidak selesa. Aktivti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan meningkatkan tahap kesihatan kita.
Selain itu, penanaman pokok-pokok haruslah dirancang dengan teratur dari semasa ke semasa. Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi untuk menstabilkan suhu persekitaran. Penanaman pokok-pokok ini juga bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida. Akhirnya, pemanansan global dapat dikawal dan akan dapat menstabilkan ekosistem persekitaran. Penjagaan sumber-sumber alam sekitar seperti pokok-pokok akan dapat membendung pelbagai masalah, sebagai contoh hutan mengawal hakisan tanah dan banjir. Hutan juga menjadi salah satu sumber ekonomi negara kita.
Kesan Penggunaan Internet
Anak-anak muda masa kini dikatakan sebagai digital natives oleh sebab mereka dilahirkan dan dibesarkan pada zaman Revolusi 4.0. Justeru, anak-anak muda terdedah dengan perkembangan teknologi maklumat terutamanya penggunaan Internet dalam kehidupan seharian. Oleh hal demikian, golongan ini memperoleh banyak manfaat daripada penggunaan Internet. Namun begitu, familiariti mereka dalam hal ini tidak bermaksud mereka terhindar daripada kesan negatif penggunaan Internet. Situasi ini tidak mendukung maksud golongan muda harus dipisahkan dengan arus pemodenan ini seperti kata Sayidina Umar Al-Khattab, “Didiklah anakmu mengikut zamannya, kerana zamannya adalah berbeza sekali dengan zaman ibu bapa”.
Internet merupakan rangkaian maklumat antarabangsa yang terbesar di dunia yang memberikan kebaikan kepada semua peringkat dalam pendidikan, ekonomi, sosial, dan lain-lain termasuklah golongan murid. Kajian Pengguna Internet MCMC 2016 golongan yang masih bersekolah menghabiskan paling banyak masa dalam talian, iaitu sebanyak 20.9 jam seminggu. Kemudahan ini membenarkan murid saling bertukar maklumat dan pengetahuan kerana wujudnya ‘Dunia Tanpa Sempadan’. Sudah terang lagi bersuluh, kebaikan Internet terhadap murid adalah seperti membantu mencari maklumat. Murid yang melayari Internet dapat mencari banyak maklumat tambahan yang terkini untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Murid yang luas pengetahuan tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sekiranya murid berpengetahuan luas dan berdaya intelektual, negara kita akan mencapai kemajuan setanding dengan negara lain seperti Jepun, Korea dan Amerika Syarikat.
Sebagai individu yang suka berkomunikasi, murid juga dapat menambah kenalan sehingga hujung dunia. Media sosial telah menjadi medan penting dalam kalangan murid untuk mengenal budaya dan tradisi bangsa atau negara lain. Menerusi Facebook, Twitter, dan Instagram, murid dapat saling bertukar maklumat mahupun pendapat melalui kenalan daripada laman sosial. Hal ini demikian kerana maslahat Internet kepada remaja ialah mereka dapat mempelajari adat resam sesuatu bangsa daripada negara yang berbeza. Hal ini bertepatan dengan ungkapan ‘tak kenal maka tak cinta’.
Malah, murid dapat mengeratkan hubungan silaturahim apabila melayari Internet. Penggunaan Facebook, Instagram, dan Twitter juga boleh digunakan sebagai medium untuk mencari rakan lama yang terpisah dan kembali berhubung semula dengan mereka serta menyimpul mati silaturahim. Malah, murid yang tinggal di sekolah berasrama mampu berhubung dengan keluarga dan tidak menjadikan jarak beribu batu sebagai alasan untuk merenggangkan hubungan yang sudah kukuh bagai isi dengan kuku. Perkembangan teknologi ini telah menjadi jambatan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Tuntasnya, Internet mampu membawa kepada kebaikan kepada pengguna jika digunakan secara betul. Namun, penggunaan Internet secara tidak terkawal memberikan seribu satu implikasi negatif. Oleh itu, ibu bapa ibarat kunci yang mengawal penggunaan Internet. Ibu bapa hendaklah mengehadkan masa melayari Internet. Komputer hendaklah diletakkan di ruang keluarga untuk memudahkan pemantauan di samping memasang aplikasi dalam usaha menyekat akses kepada laman sesawang yang tidak bermanfaat. Malah, murid juga tidak mendedahkan maklumat diri dengan sewenang-wenangnya kerana kadar jenayah di Internet telah meningkat sejak akhir-akhir ini.